KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki kerana disyaki memukul seorang warga emas yang dipercayai menyebabkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata dua lelaki berusia 26 dan 43 tahun itu ditahan sekitar Kajang kira-kira 3.30 pagi tadi.

Beliau berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 63 tahun yang turut terbabit dalam kemalangan pada Khamis lepas kira-kira 12.35 tengah hari itu.

"Dalam kejadian itu, kereta yang dipandu lelaki warga emas terbabit telah melanggar sebuah van membawa beberapa murid sekolah yang dipandu seorang wanita.

"Sejurus selepas kejadian, lelaki terbabit dihampiri beberapa orang yang tidak dikenali dengan dua daripadanya bertindak memukulnya di bahagian badan sehingga menyebabkan kecederaan di perut, dahi dan badan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipukul oleh orang awam yang marah kerana dipercayai memandu kenderaan secara laju dan tidak berhenti semasa lampu isyarat merah sehingga melanggar van sekolah terbabit.

"Kedua-dua individu itu direman sehingga Isnin (15 Jan) dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Semalam, Mohd Zaid dilaporkan berkata kejadian kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kegagalan brek sebuah kereta jenis Proton Saga yang melanggar sebuah bas sekolah dan sebuah lagi kereta jenis BMW serta turut menyebabkan seorang pelajar sekolah mengalami kecederaan ringan.

Terdahulu, satu rakaman tular berdurasi 39 saat menunjukkan berlaku kekecohan di lokasi kemalangan dan gambar memaparkan seorang warga emas cedera dipercayai dipukul beberapa individu.

-- BERNAMA