IPOH: Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang menyimpan mercun dan bunga api tanpa permit di sebuah rumah kedai, di Tanjung Rambutan di sini petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, turut dirampas ialah sebuah lori dan 715 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM400,000.

Mohd Yusri berkata, penahanan dibuat menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada jam 5.30 petang, dengan maklumat yang diterima mengenai simpanan mercun dan bunga api tanpa permit.

"Hasil daripada operasi yang dijalankan, pihak polis berjaya melakukan tangkapan ke atas dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun bersama rampasan sebuah lori dan 715 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api.

"Siasatan awal pihak polis mendapati kesemua mercun dan bunga api yang dirampas adalah disimpan tanpa permit di dalam rumah kedai berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Justeru katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.

"Pihak polis berjaya mendapatkan perintah tahanan reman ke atas kedua-dua tangkapan berkenaaan selama empat hari bermula hari ini, sehingga Isnin untuk siasatan lanjut," katanya lagi.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang kepada pihak polis.

Ia bagi usaha membanteras jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara.