MALAYSIA

Dua lelaki ditahan terlibat lumba haram di Setiu

Bernama 17/01/2026 | 03:15 MYT
Kedua-dua suspek berumur 19 dan 24 tahun itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin untuk siasatan lanjut. - Gambar hiasan
BANDAR PERMAISURI: Polis menahan dua lelaki dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Raja, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Dris berkata suspek yang bekerja sebagai mekanik motosikal dan buruh itu ditahan dalam operasi yang bermula pada 4 petang di sepanjang Kampung Beting Lintang hingga Kampung Rhu 10 dekat sini.

"Mereka dipercayai terlibat dengan lumba haram dan melakukan aksi yang bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zain berkata kedua-dua suspek berumur 19 dan 24 tahun itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

#Operasi Samseng Jalanan #lumba haram #reman #Mohd Zain Mat Dris