KUALA LUMPUR: Satu sindiket curi kenderaan pacuan empat roda tumpas apabila dua lelaki ditahan di dua lokasi sekitar Subang Jaya dan Ampang, pada 27 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata penahanan kedua-dua suspek berusia 40 dan 35 tahun itu susulan laporan seorang mangsa yang kehilangan kenderaan jenis Toyota Hilux di Jalan Selisih, Jinjang pada 4 Okt lepas.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini, beliau berkata setiap kenderaan yang dicuri suspek dipercayai akan dibawa masuk ke negara jiran.

"Dalang utama, (dikenali sebagai) Ah Ho, dipercayai menerima pesanan daripada seorang lelaki di Thailand untuk mencuri kenderaan. Kemudian, kenderaan tersebut akan dibiarkan di tepi jalan untuk diambil oleh lelaki lain (dipercayai diupah oleh lelaki di Thailand) yang kemudiannya dibawa masuk ke negara terbabit.

Setakat ini, suspek mengaku terlibat dalam enam kes curi kenderaan pacuan empat roda (empat di Kuala Lumpur dan dua di Selangor) dan menerima upah RM20,000 setiap kenderaan dicuri," katanya.

Beliau berkata polis juga turut merampas antaranya dua kenderaan (yang dipercayai kereta hasil curi dan kereta sewa), 26 keping nombor plat dan lapan keping cukai jalan serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.

Ahmad Sukarno berkata modus operandi suspek ialah menyasarkan pacuan empat roda seperti Toyota Hilux dengan meletakkan alat penjejak pada kenderaan terbabit.

"Apabila letak penjejak, suspek akan menjejak semula kenderaan tersebut dan lokasi di mana kenderaan itu diletakkan. Setelah tiba waktu malam, suspek akan memulakan kegiatannya dengan mematikan sistem penggera menggunakan alatan khas seterusnya curi kereta itu.

Suspek juga turut mempunyai nombor-nombor plat milik pacuan empat roda lain untuk ditampal di kenderaan yang dicurinya bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Ahmad Sukarno berkata polis turut menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang sedang mencuri barangan dalam kenderaan yang diparkir di tepi jalan di sekitar Sentul, pada Sabtu.

Beliau berkata polis turut merampas antaranya tujuh keping Touch 'n Go, sebuah telefon bimbit, pam angin dan wang tunai.

"Lelaki yang bekerja sebagai tukang masak itu menyasarkan kenderaan-kenderaan yang diparkir di tepi ketika perjalanan ke tempat kerja di sekitar kawasan tersebut untuk mencuri barangan," katanya.

Ahmad Sukarno berkata setakat ini, suspek mengaku terlibat dalam enam kes di sekitar Sentul dan direman selama empat hari.

-- BERNAMA