Dua lelaki ditahan tipu import eksport kaki ayam sejuk beku

Bernama
Mei 26, 2023 12:30 MYT
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kedua-dua lelaki itu iaitu pengarah syarikat berumur 60 tahun dan rakannya, 46, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Balai Polis Bayan Lepas, semalam. - Gambar fail/BERNAMA
BALIK PULAU: Polis menahan seorang pengarah syarikat dan rakannya bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan membabitkan tawaran perkhidmatan import dan eksport kaki ayam sejuk beku membabitkan kerugian RM207,832.23, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kedua-dua lelaki itu iaitu pengarah syarikat berumur 60 tahun dan rakannya, 46, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Balai Polis Bayan Lepas, di sini semalam.
"Pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 45 tahun yang mendakwa telah diperdaya oleh sebuah syarikat menawarkan perkhidmatan import dan eksport kaki ayam sejuk beku seberat 26,400 kilogram dari Pakistan ke Hong Kong pada 2021.
"Dengan penahanan dua lelaki itu, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata mereka kini direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.
-- BERNAMA
#Lelaki ditahan #tipu import eksport #kaki ayam sejuk beku #Polis Daerah Barat Daya