MALAYSIA
Dua lelaki mabuk serang anggota polis ditahan
Suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bertugas dan kini direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Polis menahan dua lelaki disyaki berada di bawah pengaruh alkohol kerana mendatangkan kecederaan kepada seorang anggota polis dalam kejadian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini semalam.
Ringkasan AI
- Dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun ditahan kerana disyaki mabuk dan mencederakan seorang anggota polis di IPK Pulau Pinang, termasuk menumbuk dan menggigit sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
- Suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bertugas dan kini direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian berlaku pada 4.30 petang ketika anggota berusia 30 tahun itu sedang bertugas dan telah menahan dua lelaki tempatan yang berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan pintu pagar IPK.
"Pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun itu mendapati mereka disyaki dalam keadaan mabuk dan dibawa masuk ke dalam pos pengawal untuk pemeriksaan lanjut.
"Bagaimanapun, semasa berada di dalam pos, kedua-dua suspek bertindak agresif dengan menumbuk pipi dan menggigit dada anggota bertugas sehingga menyebabkan kecederaan di mata kiri serta lebam di dada," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rozak berkata selain serangan fizikal, suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota berkenaan.
Kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga 25 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
-- BERNAMA