Dua lelaki maki pegawai MBPP dijatuhi hukuman penjara, khidmat komuniti 150 jam

Astro Awani
November 26, 2015 13:42 MYT
Aksi dua lelaki yang mencemuh tugas penguatkuasa ini telah viral di media sosial awal Oktober lalu. - Gambar fail
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM5,200 manakala rakannya diarah menjalankan khidmat komuniti selama 150 jam oleh Mahkamah Majistret George Town atas kesalahan mengeluarkan kata-kata kesat serta menghalang tugas anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Aksi mereka itu telah viral di media sosial awal Oktober lalu.
Majistret Sharifah Izura Syed Mashor menjatuhkan hukuman penjara tiga hari ke atas jurubaiki pendingin hawa, Bok Kwong Shen, 25, dan mengarahkan rakannya Leong Wai Loon, 19, untuk menjalani hukuman khidmat komuniti selama 150 jam.
Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Tan Guat Cheng yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman kerana anak guamnya telah menyesali perbuatan mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Guat Cheng juga berkata kedua-dua tertuduh ingin memohon maaf kepada penguatkuasa MBPP.
Menurutnya, Kwong Shen yang menanggung empat ahli keluarga dengan pendapatan RM1,500, telah dibuang kerja berikutan insiden berkenaan.
Katanya lagi, Kwong Shen dan ahli keluarganya telah dicemuh oleh masyarakat dan pintu rumah mereka turut disimbah dengan cat oleh individu tidak dikenali.
Jelasnya, kejadian-kejadian berkenaan juga telah menjadi sebahagian dari hukuman kepada Kwong Shen.
Dalam mahkamah berasingan, Majistret Umma L. Umma Devi telah menjatuhkan hukuman denda RM100 kepada Wai Loon kerana mengeluarkan kata-kata kesat ke atas penguatkuasa dengan niat membangkitkan kemarahan dan mengganggu keharmonian di tempat kejadian.
Pertuduhan ke atas Kwong Shen dan Wai Loon dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Azura Zulkiflee.
Pada 12 Oktober lalu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret George Town atas tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat serta menghalang tugas anggota penguatkuasa MBPP.
Mengikut pertuduhan, mereka telah menghalang tugas tiga penguatkuasa MBPP selepas tayar kenderaan Perodua Myvi mereka dikunci di Lebuh Campbell, George Town, pada jam 11.30 pagi, 7 Oktober lalu.
#Cemuh penguatkuasa #mahkamah #MBPP