Dua lelaki maut tertimbus tanah runtuh

Ruzaini Zulkepli
Januari 12, 2018 03:27 MYT
Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh. - Foto ihsan JBPM Sabah
Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kilometer 36 Jalan Marak Parak-Ranau, dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, dua mangsa yang dikenali sebagai Jaimin Bien, 46 tahun dan Edmon James, 22 tahun meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian.
Difahamkan, kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Tandahawon dan Kampung Melangkap Tengah, Kota Marudu.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu yang bergegas ke lokasi insiden sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
"Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.30 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.
"Berdasarkan maklumat awal, kejadian ini membabitkan insiden tanah runtuh di Kilometer Jalan Marak Parak-Ranau, Kota Marudu di mana terdapat dua lelaki maut akibat tertimbus runtuhan tanah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
#Kota Marudu #marak parak Ranau #maut #Mohd Izaan Abdullah #motosikal #tanah runtuh #tertimbus