Dua lelaki tempatan pemburu haram ditahan bersama senjata api
Kedua-dua suspek ditahan dalam satu operasi rondaan dan pemeriksaan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sabah (JPS) daerah Tawau di kawasan Hutan Simpan Ulu Kalumpang berikutan aduan terdapat aktiviti pemburuan haram di kawasan tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, pasukan rondaan JPS telah terserempak dua lelaki menaiki dua buah motosikal dalam keadaan mencurigakan keluar dari kawasan ladang Sabah Softwood.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, ketika dihampiri, kedua lelaki tersebut bertindak melarikan diri namun seorang daripadanya dapat ditahan oleh pihak berkuasa bersama dua barel senapang serta 10 butir peluru hidup jenis Buck Shot.
"Ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau membawa suspek pertama, kira-kira pukul 3.30 pagi, pihak berkuasa terserempak lagi dua motosikal dinaiki dua lelaki juga dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri namun seorang daripadanya, lelaki 52 tahun dapat ditahan.
"Ketika diperiksa, polis turut menjumpai satu laras senjata api Bakakuk serta dua butir peluru hidup jenis Buck Shot dalam poket seluar yang dipakai suspek," katanya.
Kedua-dua suspek seterusnya dibawa ke IPD Tawau bersama barang rampasan termasuk dua buah motosikal, dua barel senapang, satu laras senjata api Bakakuk, 12 butir peluru hidup jenis Buck Shot, dua bilah parang, satu bilah pisau, satu unit Walkie Talkie, dua unit telefon bimbit, dua buah beg serta satu unit pam tayar.
Kes disiasat di bawah seksyen 8 (a) Akta senjata 1960, Seksyen 6 (1) Akta bahan kakisan, letupan dan senjata berbahaya 1958 bagi kes melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes disiasat mengikut peraturan 3(2) peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( langkah-langkah dalam kawasan tempat berjangkit) 2020