MALAYSIA

Dua lelaki warga asing ditahan bersama pistol, peluru dan dadah

Bernama 21/12/2025 | 12:00 MYT
Polis menahan dua lelaki warga asing dan merampas sepucuk pistol, peluru hidup serta pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah bengkel kontena di Perai awal pagi tadi. - Foto hiasan
BUKIT MERTAJAM: Polis menahan dua lelaki warga asing dan merampas sepucuk pistol, peluru hidup serta pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah bengkel kontena di Perai di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis telah menyerbu bengkel itu pada 1 pagi dan menahan dua lelaki masing-masing berusia 39 serta 53 tahun.

"Pemeriksaan ke atas seorang daripada lelaki itu menemukan sepucuk Revolver 0.38 yang disembunyikan di pinggang seluar suspek dan turut menemui 21 butir peluru yang disembunyikan dalam anak patung.

"Polis turut merampas methamphetamine sebanyak 931.43 gram (g), ganja (126g) dan 10 biji pil eramin 5 yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan serta pelbagai peralatan menghisap dadah dan sebuah kereta Nissan Almera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap dua lelaki itu dan mereka kini direman tujuh hari sehingga 27 Dis ini bagi membantu siasatan.

Helmi memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

#warga asing #ditahan #Polis Daerah Seberang Perai Tengah #bengkel kontena di Perai