[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Dua lelaki warga Pakistan dihukum gantung, edar ketamin

Bernama 10/04/2025 | 09:44 MYT
Mahkamah menjatuhkan hukuman selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pembelaan. - Adobe Stock
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas dua lelaki warganegara Pakistan selepas didapati bersalah mengedar dadah ketamin seberat 191.28 kilogram (kg), enam tahun lepas.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Wahab, 60, dan Muhammad Rafiq, 52, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pembelaan.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya Syazwani Zawawi dan Muhammad Amin Azmi manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam A.Venkateswari dan A.Rajee.
Sebanyak 19 saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan, termasuk kedua-dua tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 2020.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Abdul Wahab dan Muhammad Rafiq didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis ketamin masing-masing seberat 126.502 kg dan 63.79 kg di dua premis di Jalan Munshi Abdullah, Dang Wangi, di sini dan Taman Teluk Gedung Indah, Klang antara 4.30 petang dan 10.30 malam, 25 Mac 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Abdul Wahab turut didakwa atas satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis sama seberat 987.6 gram pada tempat, tarikh dan masa sama dan dituduh mengikut seksyen sama.
-- BERNAMA
#mahkamah #warga Pakistan #hukuman gantung #edar dadah #Ketamin