KAMUNTING: Seorang lelaki cedera tersepit setelah lori muatan tepung yang dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah dekat Jalan Kampung Dew, Air Putih, di sini, hari ini.

Menurut komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Abd Karim Bari, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.05 petang.

Beliau berkata, sejurus selepas menerima panggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dengan dibantu BBP Bagan Serai bergegas ke lokasi kejadian.

"Kemalangan jalan raya membabitkan dua lori, satu jenis Hino (muatan tepung) dan Isuzu (muatan tanah). Ia mengakibatkan seorang kelindan lori Hino cedera tersepit di bahagian hadapan.

"Manakala pemandu lori Hino dan pemandu lori Isuzu berada dalam keadaan selamat," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, anggota bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkannya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan susulan.

Operasi menyelamat itu tamat sepenuhnya pada jam 2.40 petang.