Dua maut, 12 cedera kemalangan bas ekspres

Bernama
September 2, 2018 10:41 MYT
Berdasarkan maklumat awal mangsa yang maut dipercayai pemandu bas dan seorang penumpang wanita. - Foto ihsan JBPM
Dua maut, 12 cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Batu Gajah Perdana, kira-kira 35 kilometer dari sini, pada awal pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah Supt Tan Boon Hooi berkata dua yang maut dikenal pasti sebagai Munzirah Jalaludin, 20, penuntut tahun akhir Diploma Jurusan Hartanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dan pemandu bas, Mohamad Azizul Che Aziz, 30.
"Dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas terkena serpihan bongkah batu pembahagi jalan yang terpelanting memasuki bas berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Batu Gajah.
Beliau berkata 12 penumpang cedera termasuk tiga parah dengan dua yang parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh manakala seorang lagi yang parah serta yang cedera dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan.
Tan berkata bas itu yang membawa 38 penumpang kebanyakannya penuntut UiTM Seri Iskandar dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Lumut.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah Mohd Jamaluddin Mat Yusop berkata kemalangan berlaku kira-kira 5 pagi apabila bas ekspres itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan. -- Bernama
#bas ekspres #Batu Gajah Perdana #Hospital Batu Gajah #kemalangan #Mohd Jamaluddin Mat Yusop
;