Dua maut dihempap pokok tumbang

Noraniza Kamsani
September 1, 2019 08:40 MYT
Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengeluarkan mayat mangsa dalam tragedi dihempap pokok tumbang di Bentong. - Gambar Ihsan BOMBA
Kegembiraan sekumpulan individu yang sedang berkhemah berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas dihempap sebatang pokok tumbang di Air Terjun Lata Hammer di sini pada Sabtu malam.
Kejadian yang berlaku pukul 10 malam itu menyebabkan mangsa Winnie Tan Gaik Kin, 56, dan Chin Kean Hwa, 51, maut di lokasi selepas ditemui pasukan penyelamat yang melakukan operasi mengesan mangsa.
Difahamkan ketika kejadian seramai 25 individu termasuk warga emas berumur 81 tahun mendirikan khemah di kawasan Air Terjun Lata Hammer pada Sabtu.
Ketua Polis daerah, Superintenden Yusof Unis berkata, sebatang pokok dengan anggaran ketinggian kira-kira 30 meter dan lilitan dua meter telah tumbang dan menghempap mangsa yang mendirikan khemah di lokasi kejadian.
"Akibat kejadian, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mengalami kecederaan," katanya.
Menurut Yusof, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital yang sama.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas bagi membawa keluar mangsa yang parah dari ketinggian 60 meter.
#Air Terjun Lata Hammer #Dua maut dihempap pokok tumbang #Khemah #tragedi