MALAYSIA

Dua maut, dua lagi parah kemalangan di Lebuhraya Persekutuan

Bernama 21/01/2026 | 12:30 MYT
Dua maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 11.9 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, semalam. - BERNAMA
SHAH ALAM: Dua maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 11.9 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, semalam.


Ringkasan AI
  • Kemalangan berlaku di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang menyebabkan dua maut dan dua cedera parah.
  • Pemandu dan penumpang Honda HR-V maut di tempat kejadian manakala pemandu Proton Suprima dan pemandu Mercedes cedera parah.
  • Polis masih menunggu laporan kimia daripada sampel pemandu Mercedes dan meminta saksi kejadian untuk membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu, dipercayai berlaku apabila sebuah Honda HR-V dinaiki seorang lelaki dan wanita berusia 50 tahun telah melanggar belakang Proton Suprima dipandu wanita berusia 20-an di lorong paling kanan lebuh raya.

Beliau berkata difahamkan ketiga-tiga mangsa telah keluar daripada kenderaan masing-masing, sebelum dirempuh sebuah Mercedes dipercayai tidak sempat mengelak ketika melalui jalan sama.

"Pelanggaran itu mengakibatkan pemandu dan penumpang Honda HR-V maut di tempat kejadian manakala pemandu Proton Suprima serta pemandu Mercedes mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

"Punca kematian kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai head and body injury due to motor vehicle accident dan siasatan lanjut mendapati mangsa lelaki dan wanita yang maut itu bukan pasangan suami isteri, sebaliknya hanya rakan.

Ramsay berkata sampel darah serta air kencing pemandu Mercedes telah diambil untuk ujian kimia dan sehingga kini pihak polis masih menunggu laporan penuh.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya mencari tempat selamat untuk berhenti jika berlaku kemalangan di lebuh raya atau jalan-jalan utama serta mengelakkan berada di atas jalan raya terutama di lorong paling laju," katanya.

Beliau turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354.

-- BERNAMA



#kemalangan #tiga kenderaan #Polis Daerah Shah Alam #Lebuhraya Persekutuan