[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Dua maut kemalangan babit tiga kenderaan berat

Bernama 26/11/2025 | 09:37 MYT
Mangsa berusia 23 dan 24 tahun tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia. - Foto IPD Muar
MUAR: Seorang pemandu dan kelindan lori maut dalam kemalangan membabitkan dua treler serta sebuah lori di KM129.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, berhampiran Pagoh di sini, kira-kira 6 pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Pemandu dan kelindan lori maut dalam kemalangan di KM129.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, berhampiran Pagoh.
  • Mangsa berusia 23 dan 24 tahun tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia.
  • Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila treler dipandu lelaki 52 tahun dilanggar di bahagian belakang oleh sebuah treler lain.


Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mangsa yang berusia 23 dan 24 tahun tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas dikeluarkan bomba.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler dipandu lelaki 52 tahun di lorong kiri menghala ke Johor Bahru dilanggar di bahagian belakang oleh sebuah lagi treler.

"Lori mangsa yang berada di laluan sama pula gagal mengelak dan merempuh bahagian belakang treler kedua sehingga treler itu terbabas ke bahagian longkang di kiri jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Raiz Mukhliz berkata pemandu treler pertama tidak cedera manakala seorang lagi pemandu cedera ringan dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Yong Peng.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA




#dua maut #Lebuh Raya PLUS #Pagoh #kenderaan berat