MALAYSIA

Dua maut, kereta bertembung lori di Batu 12 Kuantan

Bernama 14/06/2025 | 21:20 MYT
Pada kira-kira 3.30 petang semalam, sebuah lori dari Johor menghala ke Kuantan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah Toyota Vios, mengakibatkan dua mangsa maut. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Dua maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Batu 12 Jalan Kuantan-Maran dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa Norihan Mustafa, 57, yang juga penumpang di bahagian belakang kereta berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori Jayavarman Murugan, 24, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 3.30 petang apabila lori dari arah Johor yang menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta Toyota Vios.

"Kereta yang datang dari arah Kuantan ke Maran itu pula dinaiki tiga individu. Selain Norihan, pemandu kereta Mohd Ridzwan Ab Mubin, 59, mengalami kecederaan pada muka dan bahu, manakala seorang lagi penumpang hanya cedera ringan," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pemandu kereta berkenaan dibawa ke HTAA Kuantan untuk menerima rawatan lanjut.

Wan Mohd Zahari berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan kedua-dua kenderaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer untuk pemeriksaan lanjut.

Dua maut, kereta bertembung lori di batu 12 Kuantan

-- BERNAMA

#Kuantan #Wan Mohd Zahari Wan Busu #kereta bertembung lori #treler