Dua maut, kereta langgar lori buat pusingan U

Sinar Harian
Mac 2, 2022 01:20 MYT
Keadaan kereta dinaiki dua mangsa selepas melanggar sebuah lori yang disyaki membuat pusingan U di hadapan Balai Polis Bukit Raja di sini pada Rabu. -Foto Sinar Harian
KLANG: Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lori yang disyaki membuat pusingan U di hadapan Balai Polis Bukit Raja, di sini pada Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 2.29 pagi.
"Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Norazam berkata, laporan awal kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan dipercayai membuat pusingan U di hadapan balai polis berkenaan.
"Sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki dua lelaki dari arah Jalan Haji Sirat menghala ke Kapar telah melanggar lori berkenaan," katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa itu tersepit di dalam kereta dan dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dan dibantu oleh sebuah jengkaut.
"Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.50 pagi itu disahkan telah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Norazam memaklumkan pemandu lori berkenaan tidak dapat dikesan dipercayai telah meninggalkan lokasi kejadian.
*Berita asal di Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #Norazam Khamis #pusingan u #nahas kereta dan lori 10 tan