KLUANG: Seorang lelaki dan seorang wanita maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Kluang, Sri Lalang di sini pada malam Sabtu.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 11.02 malam.

Menurutnya, sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

"Kedua-dua mangsa tidak tersepit, tetapi pintu kereta tidak dapat dibuka terutama di bahagian pemandu yang remuk teruk.

"Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di kawasan selekoh tajam di jalan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, kedua-dua mangsa dikeluarkan dan pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati pemandu merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun, manakala penumpang seorang wanita berumur 40-an.

"Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 5.30 pagi Ahad," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian