SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
NATIONAL

Dua maut kereta terperosok bawah lori buat pusingan U

Siti Aisyah Harun, Sinar Harian 23/05/2025 | 08:00 MYT
Polis menyiasat kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk mendapatkan rakaman CCTV dan memeriksa kenderaan melalui Puspakom. - Gambar/ Sinar Harian
MELAKA: Dua warga asing maut selepas kereta dinaiki mereka merempuh sebuah lori membuat pusingan U di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Tiang Dua, berhampiran kilang Huat Lai di sini awal pagi Jumaat.


Ringkasan AI
  • Dua warga asing maut selepas kereta mereka merempuh sebuah lori yang sedang membuat pusingan U di Lebuh AMJ, Tiang Dua, sekitar jam 5.30 pagi Jumaat.
  • Mangsa, Abdulla Shaied (Bangladesh) dan Nguyen Thanh Loan (Vietnam), meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dan cedera parah, manakala pemandu lori tidak cedera dan ujian air kencingnya negatif dadah.
  • Polis menemui kesan brek sejauh 45 meter dan sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk mendapatkan rakaman CCTV dan memeriksa kenderaan melalui Puspakom.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, Abdulla Shaied, 47, warga Bangladesh yang memandu kereta jenis Toyota dan penumpangnya, wanita Nguyen Thanh Loan, 46, warga Vietnam disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Nissan dan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati, lori dipandu lelaki berusia 48 tahun dari arah Jasin telah membuat pusingan U untuk masuk ke kilang Huat Lai sebelum dilanggar kereta mangsa dari arah Melaka yang gagal mengelak.

“Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dan alami cedera parah di bahagian muka, badan serta kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal di lokasi telah menemui kesan brek sejauh 45 meter dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun katanya, pemandu lori tidak alami sebarang kecederaan dan ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif dadah selain sampel darah turut diambil untuk ujian alkohol.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kilang berhampiran akan diperoleh bagi membantu siasatan lanjut dan kenderaan yang terlibat turut ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” ujarnya. - Sinar Harian





#kemalangan maut #Lori #Melaka #polis