Tindakan seorang penunggang motosikal membawa dua pembonceng sekaligus membawa padah apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 pagi Selasa, penunggang motosikal dan seorang pembonceng maut di tempat kejadian manakala seorang lagi pembonceng hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal yang naiki tiga lelaki terbabit dikatakan bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

Noozainy berkata, berdasarkan siasatan awal, penunggang motosikal bersama dua pembonceng itu sedang dalam perjalanan dari Taman Mesra Jaya menuju ke Ampang Jajar.

Manakala pemandu kereta bersama seorang penumpang datang dari arah Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pulang ke rumah di Taman Kelisa.

Bagaimanapun, setiba ditempat kejadian, motosikal terbabit dikatakan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun.

Penunggang motosikal berusia 24 tahun yang bekerja sebagai juruteknik kilang dan pembonceng berusia 22 tahun maut ditempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Seorang lagi pembonceng berusia 21 tahun serta pemandu dan penumpang kereta hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan.

Noorzainy berkata, mangsa yang maut dihantar ke HSJ untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.