TAPAH: Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 317.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Chenderiang di sini petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dua mangsa tersebut, masing-masing berusia 31 dan 67 tahun yang maut di lokasi kejadian merupakan pemandu treler muatan simen dan pemandu lori muatan buah tembikai.

Katanya, seorang lagi mangsa iaitu pemandu pacuan empat roda (4WD) hanya mengalami cedera ringan.

Mohd Yusri berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima maklumat dari orang orang awam berhubung kemalangan itu pada jam 5.30 petang pada Rabu.

"Siasatan polis di tempat kemalangan mendapati sebuah treler muatan simen yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Seberang Perai, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur.

"Kenderaan yang dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas merempuh pembahagi lebuh raya dan melanggar sebuah lori muatan buah tembikai dan sebuah kenderaan yang sedang bergerak di laluan bertentangan arah selatan ke utara.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, ketiga-tiga kenderaan tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala dua lelaki iaitu pemandu treler dan lori meninggal dunia di tempat kejadian.

"Wanita yang memandu 4WD mengalami kecederaan ringan di bahagian muka serta menerima rawatan di Hospital Tapah," katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.

Dalam pada itu beliau berkata, semakan rekod kesalahan trafik mendapati pemandu treler yang menyebabkan punca kemalangan itu terkumpul sebanyak 13 keping dari tahun 2010 hingga 2023.

Jelasnya lagi, satu daripadanya merupakan kemalangan jalan raya pada tahun 2018.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah bagi bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan).

"IPD Tapah menyeru kepada orang awam yang menyaksikan kemalangan tersebut supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Insp Nor Hazliyani Hashim di talian 05-4011222 bagi membantu dalam siasatan kes," katanya lagi.