Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Dua maut, tiga kritikal dalam kemalangan tiga kenderaan di Lebuhraya Senai-Desaru

Ernalisa Othman 11/10/2025 | 08:43 MYT
Dua lelaki maut dan tiga lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 56 Lebuhraya Senai-Desaru, dengan dua kenderaan terbakar akibat pelanggaran. -Gambar IPD Kota Tinggi
KOTA TINGGI: Dua individu dilaporkan maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 56 Lebuhraya Senai–Desaru, pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • Dua lelaki maut dan tiga lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 56 Lebuhraya Senai-Desaru, dengan dua kenderaan terbakar akibat pelanggaran.
  • Pasukan bomba berjaya memadam kebakaran dan mengesahkan kecederaan mangsa berpunca daripada impak pelanggaran, bukan kebakaran.
  • Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat, manakala tiga mangsa cedera dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hazmi Zulkafli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.25 pagi berhubung insiden kemalangan dan kebakaran di lokasi berkenaan.

Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikerahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

“Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah Volkswagen dan dua SUV jenis Honda CR‑V serta Toyota Fortuner. Dua daripada kenderaan tersebut sedang terbakar akibat pelanggaran,” katanya dalam kenyataan media.

Lima lelaki yang berada dalam Fortuner dan Volkswagen berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.

Pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal kebakaran.

“Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala tiga lagi yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru untuk rawatan lanjut,” tambah Hazmi.

Beliau turut menjelaskan bahawa kecederaan yang dialami mangsa berpunca daripada impak pelanggaran, bukan akibat kebakaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman mengesahkan bahawa jenazah kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat.





#Lebuhraya Senai-Desaru #nahas tiga kenderaan #Hospital Kota Tinggi #Hospital Sultan Ismail