Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Dua maut, tiga parah dalam kemalangan tiga kenderaan di Kota Tinggi

Bernama 11/10/2025 | 13:30 MYT
Mohd Hazmi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 11.25 pagi sebelum lapan anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian. - Gambar JBPM Johor
KOTA TINGGI: Dua maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 56 Lebuhraya Senai-Desaru di sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hazmi Zulkafli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 11.25 pagi sebelum lapan anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi, didapati berlaku kemalangan melibatkan tiga kenderaan dan dua daripadanya terbakar.

"Terdapat lima individu terbabit, namun semuanya berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba. PKO kemudian bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua kenderaan yang terbakar ialah sebuah Toyota Fortuner yang dinaiki seorang lelaki dewasa yang cedera parah serta sebuah Volkswagen yang dinaiki empat individu termasuk dua daripadanya maut dan dua lagi parah.

"Kesemua mangsa maut dan cedera parah akibat kemalangan, bukan kebakaran. Difahamkan Toyota Fortuner itu bertembung dengan Volkswagen sebelum kedua-duanya terbakar.

"Sebuah Honda CR-V yang berada berhampiran cuba mengelak pelanggaran dan empat individu di dalamnya dilaporkan selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Dua mangsa maut dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat manakala tiga mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman mengesahkan tiga maut dalam kemalangan itu.

Yusof berkata kejadian yang berlaku kira-kira 11.45 pagi itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah Honda CR-V dipandu seorang wanita tempatan berusia 25 tahun, Toyota Fortuner dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun serta Volkswagen Golf dipandu seorang lelaki yang belum dikenal pasti bersama tiga penumpang lelaki yang juga belum dikenal pasti.

"Dalam kemalangan ini, pemandu dan dua penumpang kereta Volkswagen Golf meninggal dunia, iaitu dua daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian, seorang meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala seorang lagi penumpang sedang mendapatkan rawatan di hospital sama.

"Sementara itu, pemandu kereta Toyota Fortuner juga cedera parah dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail manakala pemandu Honda CR-V tidak mengalami kecederaan," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah berhubung kereta Toyota Fortuner yang disyaki membawa muatan rokok seludup.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Zamiruddin Yaakob di talian 011-3910 5277.

-- BERNAMA


#bedah siasat #meninggal dunia #rokok seludup #orang awam