Dua maut, tujuh parah dalam kemalangan babitkan bas dan kereta

Bernama
Julai 10, 2023 00:30 MYT
Kemalangan di Km 285.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada kira-kira jam 5 pagi ini membabitkan bas pelancong dari Singapura dan sebuah kereta Proton Wira. - Foto BERNAMA/JBPM Negeri Sembilan
SEREMBAN: [KEMAS KINI] Dua maut dan tujuh penumpang bas cedera parah akibat kemalangan melibatkan sebuah bas dan sebuah kereta di Kilometer 285.5, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara pagi tadi.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Nilai, Komander Operasi Bakarya Mohd Salleh berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri menerima panggilan kecemasan kira-kira 5 pagi tadi.
Memaklumkan perkembangan terkini insiden itu, katanya jumlah mangsa terlibat yang menaiki bas tersebut adalah 22 individu termasuk dua yang maut iaitu pemandu bas (lelaki) dan penumpang wanita warga Indonesia.
"13 mangsa (penumpang) lain cedera ringan dan dibawa ke unit Kecemasan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bakarya berkata mangsa yang menaiki kereta pula terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital.
-- BERNAMA
#kemalangan bas dan kereta #Lebuhraya Utara Selatan #bas pelancong #penumpang bas maut