Dua mayat dipercayai PATI di pantai dekat Bandar Penawar

Bernama
Februari 8, 2016 23:50 MYT
Kedua-dua mangsa ditemukan mati di pantai itu dalam keadaan terlentang dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai. - Gambar hiasan
Dua mayat dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dijumpai di pantai dekat Bandar Penawar, minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata satu mayat lelaki dewasa dijumpai pada 3 Feb kira-kira 2.30 petang di Pantai Brunai, Bandar Penawar dekat sini.
"Sementara satu lagi mayat perempuan dewasa ditemui di Pantai Ladang Mados Bandar Penawar pada keesokannya, 4 Feb kira-kira 10.30 pagi," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
BACA: 13 mayat warga Indonesia ditemui terdampar di Pantai Tanjung Kelisa
BACA: 4 lagi mayat ditemui terdampar di Kota Tinggi
VIDEO: Empat mayat ditemui di Pantai Ladang Sungai Tengah
Kedua-dua mangsa ditemukan mati di pantai itu dalam keadaan terlentang dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai, katanya.
Rahmat berkata kedua-dua mayat ditemukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang yang membuat rondaan Operasi Landai di pantai berkenaan.
"Mayat tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, dipercayai PATI warganegara Indonesia dan hasil pemeriksaan pada lengan kiri tiada suntikan BCG," katanya.
Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan, kata Rahmat.
#Bandar Penawar #dua mayat #Indonesia #Pantai #pati