Skip to main content

Malaysia

Dua melecur, seorang sesak nafas dalam kebakaran rumah dua tingkat

Sumber: Sinar Harian
Rumah teres dua tingkat yang disewakan mengikut bilik terbakar dalam kejadian awal pagi Jumaat. - Foto Sinar Harian
Advertisement

MELAKA: Dua melecur manakala seorang lagi mengalami sesak nafas selepas sebuah rumah teres dua tingkat yang disewakan mengikut bilik di Jalan Permai 4, Taman Perkota Hang Tuah, Bukit Baru di sini terbakar awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.38 pagi itu, seorang wanita berusia 22 tahun dan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun, masing-masing melecur selain seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengalami sesak nafas manakala tiga lagi penghuni rumah terbabit, masing-masing seorang wanita berusia 44 tahun dan dua lelaki berusia 44 tahun dan lingkungan 40-an dilaporkan selamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba Mohd Shahrom Laji berkata mangsa yang cedera, ditemukan di dalam rumah sebelum diberikan rawatan oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.

“Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.38 pagi.

“Sebaik tiba pada 3.48 pagi, pasukan mendapati rumah jenis kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 20 x 70 kaki persegi yang disewakan mengikut bilik itu, telah terbakar kira-kira 80 peratus,” katanya.

Mohd Shahrom berkata operasi pemadaman dilakukan menggunakan salur bantu mula dan kebakaran berjaya dikawal pada 3.57 pagi dengan sebanyak 15 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi berkenaan.

“Operasi masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca yang mencetuskan kebakaran semulan manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement