[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Dua mengaku tidak bersalah tuduhan khianat lempar mercun dalam restoran

Bernama 31/07/2025 | 06:01 MYT
Khoo Teng Chi, 32, dan Joanne Lim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Irwan Suainbon. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Dua individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar dan melempar mercun ke sebuah restoran hingga menyebabkan kerosakan minggu lepas.


Ringkasan AI
  • Dua tertuduh, Khoo Teng Chi dan Joanne Lim, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar dan melempar mercun ke sebuah restoran di Jalan Pahang, menyebabkan kerugian sebanyak RM34,800.
  • Mereka didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda; mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 setiap seorang dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis dan tidak mengganggu saksi.
  • Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 September, sementara tertuduh diwakili peguam yang memohon jaminan lebih rendah atas faktor pendapatan bulanan yang terhad.


Khoo Teng Chi, 32, dan Joanne Lim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan iaitu mercun dengan cara membakar dan melemparkannya ke premis milik seorang wanita hingga menyebabkan kerosakan dengan jumlah kerugian RM34,800.

Khoo dan Lim didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Pahang di sini, pada 5.19 pagi 23 Julai lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam Muhammad Zulzarif Mohd Zakwan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohonan jaminan RM5,000 untuk anak guamnya dengan alasan Khoo bekerja sebagai pelayan di kedai kopi dengan pendapatan RM1,800 manakala Lim membantu ibunya berniaga di kedai tomyam dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi.

Mahkamah turut menetapkan 2 Sept untuk sebulan semula kes.

-- BERNAMA


#kes khianat #kes baling mercun #hukuman mahkamah #kes mahkamah