KUALA LUMPUR: Pada satu lewat petang April lalu, David (bukan nama sebenar) menerima tawaran yang boleh diibaratkan orang mengantuk disorongkan bantal, tiba tatkala pemilik perniagaan aksesori telefon bimbit di Sarawak itu dalam kebuntuan bagi meningkatkan pendapatannya.
Seseorang dalam kumpulan rakan WhatsApp yang disertainya mengusulkan satu peluang perniagaan sambil bercuti di Chiang Mai, Thailand.
Lebih mengujakan, individu itu yang David anggap "sekadar kenalan" turut menawarkan untuk menanggung kos perjalanannya dan seorang rakan.
Dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang tidak fasih, ada masa dibantu oleh penterjemah, pemuda berusia 22 tahun itu memberitahu Bernama bahawa terlintas juga di hatinya, mengapa lelaki yang dipanggil Steven tersebut begitu pemurah, sementelah baru dikenali beberapa bulan.
Akan tetapi, dia memutuskan untuk tidak mensia-siakan rezeki yang datang bergolek.
Siapa sangka keputusan itu menjebak dia dan rakannya Laura (bukan nama sebenar), juga anak Sarawak yang seusianya, dalam mimpi ngeri.
Bukan Steven yang mereka temui di kawasan pelancongan tanah tinggi Chiang Mai itu, sebaliknya dua anak muda terbabit diculik dan dibawa merentas sempadan melalui Chiang Rai, Thailand.
Penculik kemudian menjual mereka kepada pusat penipuan di Laukkaing, Myanmar, di mana mereka ditahan selama dua minggu.
Ditemui Bernama di pangsapuri rakannya di sini, beberapa bulan selepas melalui pengalaman menakutkan itu, David bagaikan masih tidak percaya yang dia menjadi sebahagian daripada ratusan, jika tidak ribuan, rakyat Malaysia yang diperdaya dan diseludup untuk bekerja sebagai penipu dalam talian.
Apatah lagi dia cakna berita pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia serta tahu dia dan rakannya adalah sasaran utama sindiket memandangkan Mandarin adalah bahasa ibunda mereka.
Pakar berpendapat kejadian yang menimpa David itu menunjukkan kaedah yang digunakan oleh penyeludup dan kumpulan yang bekerja dengan sindiket penipuan untuk mengumpan mangsa sentiasa berubah dan berkembang, membuatkan kerajaan, pihak berkuasa serta aktivis sering ketinggalan.
"Penyeludup manusia ini lazimnya lebih kreatif dan mereka sentiasa mencari cara baharu untuk menjerat mangsa dan memaksa mereka melakukan jenayah," kata Andrian Anthony Pereira, Pengasas dan Pengarah Eksekutif kumpulan hak asasi migran North-South Initiative.
Apabila itu berlaku, usaha menyelamatkan mangsa akan menjadi amat sukar dan seringkali dijalankan secara sipi-sipi antara batas undang-undang.
DICULIK
David mula berasa ada yang tidak kena apabila Steven tidak muncul bagi menjemput dia dan rakan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai seperti yang dijanjikan.
Sebaliknya, ketibaan mereka ditunggu oleh seorang pemandu teksi yang memegang plakad tertera nama mereka berdua.
Lelaki itu datang bersama seorang rakan, yang disifatkan oleh David sebagai agak ganjil, namun dia abaikan. Sangkanya kedua-dua lelaki tersebut adalah warga Myanmar.
Sebaik sahaja mereka berada di dalam kereta, rakan si pemandu mengeluarkan sepucuk pistol dan mengarahkan dia serta Laura menyerahkan pasport dan telefon bimbit masing-masing.
"(Mereka ugut kami), arah kami duduk diam. Kami tidak berani untuk bertindak, kerana takut dibawa dan dijual entah di mana," katanya.
Selepas empat hari perjalanan, mereka tiba di Laukkaing, sebuah pekan di utara Myanmar dan bersempadan dengan China.
David masih ingat perjalanan mereka melalui jalan kecil di kawasan pergunungan. Sepanjang perjalanan itu, mereka menempuh beberapa pusat pemeriksaan, namun setiap kali itu juga kenderaan mereka dibenar meneruskan perjalanan tanpa banyak kerenah.
Akhirnya mereka tiba di sebuah bangunan setinggi lapan tingkat, bahagian bawahnya menempatkan sebuah kasino dan dikawal oleh beberapa orang lelaki bersenjata api.
Kehadiran kumpulan itu meranapkan saki-baki harapan David untuk cuba meloloskan diri dan mendapatkan bantuan, biarpun tahu ada kekangan bahasa.
Di dalam kasino itu, ada ramai lagi yang senasib dengannya, diumpan dengan janji palsu dan dipaksa bekerja.
"Mereka sangat baik. Kami bertuah," kata David. Melihatkan rakannya Laura begitu ketakutan, pekerja di dalam bangunan itu membenarkan mereka berdua duduk bersama.
Kata David, sindiket itu memberikan mereka masa selama tiga hari untuk belajar menggunakan "Little Red Book" atau "Xiaohongshu", platform media sosial seakan TikTok dan popular dalam kalangan rakyat China.
Mereka perlu tandatangan kontrak dan menipu pengguna platform itu agar membeli mata wang kripto. Kedua-dua anak muda itu enggan.
Apabila David menyatakan hasrat untuk meninggalkan tempat itu, sindiket meminta dia dan Laura membayar wang tebusan.
Terperangkap jauh di pedalaman Myanmar, peluang untuk melepaskan diri amat tipis. Dalam tempoh itu kumpulan yang menahan mereka belum bertindak kasar, namun sampai bila? Mereka tidak ada pilihan dan hanya menunggu masa sebelum tunduk kepada kehendak orang yang menahan mereka.
Namun keajaiban berlaku tanpa disangka.
Cerita David, tiga hari kemudian askar tempatan memeriksa bangunan itu dan pekerja. Selepas mendapati dia dan Laura tidak menandatangani kontrak, kumpulan askar tersebut meminta dia dan Laura mengemas barang masing-masing dan seterusnya membawa mereka ke Pangkham yang terletak kira-kira sembilan jam pemanduan dari sempadan Myanmar-Thailand.
Sebaik tiba di situ, mereka meminjam telefon daripada seseorang dan menghubungi keluarga masing-masing. Sekarang mereka cuma perlu cari jalan untuk keluar dari Myanmar.
Mimpi ngeri mereka masih belum berakhir.
JALAN KELUAR
Tidak seperti yang dialami oleh David, kaedah paling biasa yang menjerat rakyat Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan manusia ialah tawaran pekerjaan yang menjanjikan gaji melangit berbanding kelayakan seseorang. Akan tetapi, usaha menyelamat pula biasanya menggunakan cara yang sama.
Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong telah membantu menyelamatkan 58 orang daripada 178 kes yang dilaporkan kepada MCA dalam tempoh Mac 2022 hingga 6 Okt 2023.
Kebanyakan mereka yang diselamatkan itu "tersangkut" di Kemboja. Negara-negara lain termasuk Myanmar, Laos, Thailand dan Dubai.
"Kami tidak tahu apa yang berlaku kepada yang lain-lain," kata Chong.
Beliau membantu mangsa dengan memaklumkan keluarga jika masih tidak tahu, mendesak polis dan kedutaan agar menghubungi rakan sejawatan di negara yang berkenaan serta agensi penguat kuasa yang lain seperti Interpol dan Aseanapol.
"Rakan sejawatan di sana tahu apa yang perlu dilakukan. Terpaksa bergantung pada ehsan mereka yang akan melaksanakan usaha menyelamat mengikut cara mereka," katanya.
Beliau berkata, mereka juga memaklumkan usahawan Malaysia yang beroperasi di Kemboja serta negara lain agar memantau atau membantu mana-mana mangsa yang datang meminta bantuan mereka.
Beliau turut menghantar alamat perniagaan terbabit kepada mangsa.
Semuanya dilakukan menurut undang-undang. Jika negara di mana mangsa itu berada mempunyai kerajaan yang berfungsi, peluang untuk usaha menyelamat itu berjaya adalah lebih tinggi.
Chong akui kaedah itu boleh mengambil masa yang lama, kerana katanya, apabila pihak berkuasa menghubungi rakan sejawatan mereka, maka mereka tertakluk kepada perancangan rakan sejawatan itu.
Sesetengah keluarga tidak sanggup menunggu begitu lama, apatah lagi tidak ada jaminan usaha itu akan berjaya.
Justeru, mereka bersedia melakukan sesuatu yang tidak selaras dengan undang-undang sekiranya keadaan memerlukan.
Dalam kes David, selepas keluarga masing-masing tahu keberadaan dia dan Laura, keluarga mereka menghubungi Victor Wong, seorang usahawan Malaysia berpangkalan di Thailand yang berpengaruh, bagi membantu mengeluarkan mereka dari Myanmar.
Wong telah kerap kali bekerjasama dengan polis dan kedutaan Malaysia di Thailand bagi membawa pulang mangsa pemerdagangan manusia.
"Ibunya mahu David minta pertolongan pihak polis Myanmar, tapi saya tidak yakin usaha itu akan berjaya. Malah mereka mungkin berdepan masalah kerana kedua-duanya diseludup masuk," kata Wong kepada Bernama.
Apabila beliau cuba mengatur pengangkutan buat David dan Laura, beliau dapati kenderaan itu tidak boleh melepasi sebuah pusat pemeriksaan di Myamar bagi memasuki Thailand yang memerlukan pas khas.
Katanya, beliau terpaksa mengupah beberapa orang warga Myanmar untuk mengambil dua anak muda terbabit sebelum dibawa meredah hutan di Tachileik, di mana pasukan tentera Thailand sedang menunggu bagi membawa kedua-duanya merentas sempadan.
Wong akui caranya itu tidak mengikut prosedur namun menegaskan kaedah tersebut adalah satu-satunya cara untuk membawa pulang kedua-dua anak muda berkenaan dengan selamat.
Keluarga David dan Laura membayar sebahagian daripada kos mengupah kumpulan yang membawa mereka keluar.
Pereira memahami rasional langkah tersebut, namun beliau tidak bersetuju dengan penggunaan kaedah berkenaan dalam menyelamatkan mangsa.
Beliau menasihati keluarga mangsa agar mematuhi prosedur undang-undang kerana kegagalan berbuat demikian mungkin membuatkan masalah itu terus berlaku.
Bagi David pula, dia tidak kisah tentang cara yang digunakan untuk membawanya keluar asalkan dia dapat pulang dengan selamat.
Anak sulung daripada empat beradik tersebut berkata, mereka sangat bertuah dapat pulang memandangkan tempat dia dan Laura ditahan itu terletak terlalu jauh dari sempadan Thai-Myanmar, di mana usaha menyelamat atau meloloskan diri selalunya lebih mudah.
Oleh sebab mereka hilang hanya selama dua minggu, visa mereka masih sah, membolehkan kedua-duanya pulang ke tanah air tanpa perlu ditahan di penjara imigresen.
Katanya, dia memutuskan untuk berkongsi kisahnya itu bagi mengingatkan orang ramai bahawa kawan tidak semestinya boleh dipercayai.
"Mata mau kena besar sikit (Kena hati-hati). Mau tengok kawan cakap apa. Jangan percaya senang," ujarnya, menambah, dia tidak lagi berkawan dengan mereka yang berada dalam kumpulan rakan WhatsApp itu. - BERNAMA
Bernama
Wed Oct 11 2023
David bagaikan masih tidak percaya yang dia menjadi sebahagian daripada ratusan, jika tidak ribuan, rakyat Malaysia yang diperdaya dan diseludup untuk bekerja sebagai penipu dalam talian. - Gambar hiasan
Pesakit di Hospital Indonesia di Gaza kelaparan
Kementerian Kesihatan Gaza berkata pada Selasa bahawa terdapat sekurang-kurangnya 60 pesakit dalam risiko tinggi.
Thailand ambil langkah komprehensif tangani cuaca buruk, dijangka melanda minggu ini
Jabatan Pengairan Diraja juga telah diarahkan membersihkan saluran air daripada rumpai dan halangan untuk mengelakkan banjir.
10 Berita Pilihan - (11 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
AWANI Tonight 11 Dec 2024
#AWANITonight with @Hafiz_Marzukhi
1. PSC proposes measures to tackle growing insurance costs
2. Malaysia on track to achieve high-income status by 2027, says Rafizi
#AWANIEnglish #AWANINews
1. PSC proposes measures to tackle growing insurance costs
2. Malaysia on track to achieve high-income status by 2027, says Rafizi
#AWANIEnglish #AWANINews
Johor, MOT wujudkan pasukan petugas khas bincang isu kesesakan, penyuraian trafik RTS
Pelbagai isu dan inisiatif dibincangkan dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya khususnya di Johor Bahru dan Lembah Klang.
Lima anggota, pegawai polis tolak rasuah terima penghargaan KPN
Razarudin merakamkan ucapan tahniah kepada mereka kerana berpegang teguh dengan prinsip integriti ketika menjalankan tugas menjaga sempadan negara.
Libat urus telah diadakan sebelum putuskan tambah waktu bekerja jururawat - Dr Dzulkefly
Keputusan itu telah melalui beberapa pusingan libat urus termasuk dengan tujuh kesatuan sekerja termasuk persatuan jururawat.
AWANI Tonight: Flour ban deepens food crisis, cracker prices soar
The Israeli army's blockade of flour into Gaza has exacerbated the humanitarian crisis, causing a severe shortage of bread for displaced Palestinians.
AWANI Tonight: Astro's turnaround, new TV packs, and Premier League rights
Astro Malaysia Holdings Bhd reported a net profit of RM46.94 million for Q3 2024, introduced new TV packs, and renewed Premier League and FA Cup broadcasting rights through 2028.
AWANI Tonight: Govt probes alleged mishandling of deceased baby’s body
The Health Ministry has launched an investigation into the claim that a private hospital stored a newborn’s body in a freezer for two weeks, due to the father’s inability to pay the medical bills.
Ibu rayu selamatkan anak gadis jadi mangsa sindiket di Myanmar
Risdawati berharap pihak berkuasa dapat campur tangan untuk menyelamatkan serta membawa pulang anaknya.
Dr Mashitah nafi terlibat sindiket pemerdagangan manusia
Datuk Dr Mashitah Ibrahim menafikan penglibatannya dalam aktiviti sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Sindiket pemerdagangan manusia: Polis rakam keterangan ahli politik, suami
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya sudah merakam keterangan seorang ahli politik dan suaminya yang didakwa berkait dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
'Anak diseksa, dipukul, dipaksa makan daging babi' - Ibu
Hasrat seorang lelaki OKU mengumpul wang sempena Aidilfitri musnah apabila menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Myanmar-Thailand.
Dua buruh paksa mangsa eksploitasi diselamatkan polis
Dua warga asing disyaki dieksploitasi sebagai buruh paksa di sebuah kilang kitar semula barangan terpakai di kawasan Perindustrian Kundang, di sini diselamatkan polis, pada Khamis.
Kerajaan sedaya upaya selamatkan mangsa pemerdagangan manusia - Saifuddin
Kerajaan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan kesemua mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang didapati terperangkap di luar negara.
Dua minggu yang ngeri buat David, diculik dan dijual kepada sindiket pemerdagangan manusia
Nasihat David, jangan jadi sepertinya, mudah percaya cakap orang, lebih-lebih lagi kenalan baharu yang tidak diketahui latar belakangnya.
Lima mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar pulang esok
Lima mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang terkandas di Myawaddy, Myanmar dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad jam 3 petang.
Kasino muflis didakwa dalang sindiket pemerdagangan manusia
Kegiatan sindiket itu pada mulanya berpusat di negara berkenaan dan Laos sebelum beralih ke Myanmar selepas dibanteras pihak berkuasa.
Ibu rayu PM, kerajaan selamatkan anak di Myanmar
Anak lelaki Haniza telah menghubunginya dan meminta supaya membantu membawa pulang ke tanah air bersama lima lagi mangsa.