Dua nelayan hilang selepas bot terbalik di Bintulu

Dua mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai juragan bot Jender Baem, 65, dan anak lelakinya Petrus Andrew Jender, 33. - Foto FB Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
BINTULU: Dua nelayan dilaporkan hilang, manakala empat lagi terselamat selepas bot dinaiki terbalik dan karam akibat laut bergelora dan angin kencang kira-kira tiga batu nautika di barat laut Tanjung Payung di perairan Bintulu petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata dua mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai juragan bot Jender Baem, 65, dan anak lelakinya Petrus Andrew Jender, 33, sementara empat mangsa terselamat pula ialah warga Indonesia Nasri Harun, 30, Jamaluddin Rahman, 34, Nardi Harum, 46, dan Tomi Hardi, 20.
Beliau berkata seorang daripada empat mangsa yang diselamatkan mengalami kecederaan pada tangan dan dagu, dan dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata kejadian itu dimaklumkan kepada Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Kuching selepas pihaknya menerima laporan daripada nakhoda kapal tunda TB SWEE sekitar 6.15 petang semalam, yang memaklumkan telah menyelamatkan empat mangsa di lokasi kejadian.
"Seorang mangsa yang terselamat, Nasri Harun memberitahu vesel nelayan kelas C yang mereka naiki karam akibat keadaan laut bergelora dan dua lagi rakan mereka masih belum ditemukan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, Muhammad Suffian Eldine berkata MRSC Kuching telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat), dengan bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digerakkan ke kawasan kejadian bagi menjalankan operasi pencarian.
Beliau berkata Pangkalan Hadapan Carilamat telah ditubuhkan di Pelabuhan Bintulu, melibatkan kerjasama Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Aspek pengoperasian turut melibatkan aset PDRM, Kapal PA-49 digerakkan ke lokasi pada 9 pagi, manakala aset Maritim Malaysia iaitu Bot Kilat 43 berlepas ke kawasan pencarian kira-kira 9.50 pagi," katanya.
"Sebarang maklumat atau kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu (086-314254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk tindakan segera," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


