STR Fasa 1 2026 Disalurkan Hari Ini – Semak Kelayakan & Jumlah Bantuan Anda!
MALAYSIA

Dua nelayan warga Filipina ditahan, tangkap ikan secara haram, rosakkan ekosistem marin

Afiezy Azaman 19/01/2026 | 23:50 MYT
Mereka ditahan selepas dikesan melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan berpotensi merosakkan ekosistem marin. - Foto APMM
KUALA LUMPUR: Dua nelayan warga Filipina ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan lampu di dasar laut di perairan timur Tanjung Melanim, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali, mereka ditahan selepas dikesan melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan berpotensi merosakkan ekosistem marin.

"Penggunaan lampu di dasar laut merupakan kaedah penangkapan yang dilarang kerana mampu menarik hidupan marin secara tidak terkawal sekali gus menjejaskan keseimbangan ekosistem laut.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kru yang berusia 19 dan 54 tahun itu mendapati dokumen pengenalan diri adalah meragukan, selain kegagalan mengemukakan dokumen pertukaran juragan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Khairulanuar menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan yang menggunakan lampu di dasar laut kerana ia memberi kesan buruk kepada sumber perikanan negara dan usaha pemuliharaan yang dilaksanakan kerajaan.

“Jika dibiarkan, kegiatan ini bukan sahaja merugikan nelayan yang mematuhi undang-undang, malah mengancam kelangsungan sumber laut dan rezeki generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut menyeru setiap nelayan dan kru vesel supaya mematuhi undang-undang perikanan negara serta mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang lestari.

Orang ramai dan komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.





#nelayan #aktiviti penangkapan ikan secara haram #warga asing #Tanjung Melanim