Dua parah ditembak jarak dekat di Shah Alam

Astro Awani
Oktober 23, 2018 10:06 MYT
Kereta mangsa yang terbabas susulan kejadian. -Astro AWANI
Pintas kereta mangsa dan lepaskan beberapa das tembakan.
Itu situasi cemas yang dihadapi seorang pengusaha gimnasium dan jurutekniknya warga Indonesia yang parah ditembak dari jarak dekat dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi di kawasan kilang di Bukit Kemuning, Shah Alam.
Menurut saksi, ketika kejadian, mangsa yang menaiki kereta jenis Audi tiba-tiba dipintas suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang kemudiannya melepaskan tujuh das tembakan ke arah mangsa.
Mangsa yang merupakan seorang pengusaha gimnasium cedera di bahagian pipi manakala jurutekniknya cedera di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata suspek menggunakan pistol semi-auto berdasarkan kelongsong peluru ditemukan di lokasi kejadian.
Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Polis masih mendapatkan keterangan saksi di lokasi kejadian dan akan mengambil beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh.
#4WD #Baharuddin Mat Taib #Bukit Kemuning #CCTV #Hospital Tengku Ampuan Rahimah #Kanun Keseksaan #kawasan kilang #kenderaan pacuan empat roda #pengusaha gimnasium #Seksyen 307 #tembak jarak dekat #tembakan