MALAYSIA

Dua pegawai penguat kuasa ditahan di CIQ BSI, disyaki terlibat kegiatan 'Flying Passport'

Bernama 26/07/2025 | 09:00 MYT
Roszita Dim berkata penahanan pegawai penguat kuasa lelaki berumur 31 tahun dan penyelia lelaki, 49, itu dilakukan pada 9 malam oleh pasukan Unit Pematuhan AKPS BSI.
JOHOR BAHRU: Dua pegawai penguat kuasa ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini malam tadi kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku Flying Passport.


Ringkasan AI
  • Dua pegawai penguat kuasa ditahan di CIQ Bangunan Sultan Iskandar kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku Flying Passport, hasil pemantauan Unit Pematuhan AKPS BSI yang mengesan kemasukan data pelawat meragukan melalui ID pengguna mereka.
  • Pemeriksaan lanjut menemukan wang tunai RM2,800, beberapa telefon bimbit, serta 14 pasport warga asing yang disembunyikan di atas siling kaunter, dipercayai berkaitan dengan aktiviti pelepasan ralat terhadap pelawat bermasalah.
  • Kedua-dua pegawai telah diserahkan kepada SPRM Johor untuk siasatan lanjut, dan kes turut dilaporkan kepada Unit Integriti AKPS Putrajaya, dengan risikan awal dilakukan selama seminggu bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan sindiket.


Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) CIQ BSI Roszita Dim berkata penahanan pegawai penguat kuasa lelaki berumur 31 tahun dan penyelia lelaki, 49, itu dilakukan pada 9 malam oleh pasukan Unit Pematuhan AKPS BSI.

Beliau berkata pemantauan yang dilakukan kira-kira pukul 7.30 malam oleh pasukan Unit Pematuhan AKPS BSI telah mengesan beberapa kemasukan data pelawat yang meragukan melalui ID pengguna seorang pegawai yang bertugas di kaunter zon kereta.

"Unit Pematuhan turut mengesan data pelawat asing yang berada dalam kategori pelawat bermasalah yang memerlukan tindakan pembetulan ralat oleh penyelia bertugas.

"Selain itu, turut dikesan tindakan pelepasan ralat terhadap data pelawat bermasalah yang telah dilakukan melalui ID seorang penyelia yang bertugas di zon motosikal," katanya dalam sidang media di CIQ BSI, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roszita berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan di kaunter kereta juga telah menemukan wang tunai berjumlah RM2,800 serta dua unit telefon bimbit dalam simpanan pegawai.

Beliau berkata menerusi soal siasat yang dijalankan, berjaya membawa kepada penemuan sejumlah 11 pasport warganegara China dan tiga pasport warganegara Indonesia di dalam sebuah beg berwarna hitam yang disembunyikan di atas siling kaunter berlainan.

"Unit Pematuhan AKPS BSI yang membuat pemeriksaan di kaunter penyelia zon motosikal turut menjumpai dua unit telefon bimbit yang seterusnya dirampas untuk siasatan lanjut.

"Kedua-dua pegawai terbabit telah ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kira-kira 10 pagi tadi untuk tindakan lanjut. Kes juga telah dilaporkan kepada Ketua Unit Integriti AKPS Putrajaya.

"Risikan dilakukan kira-kira seminggu, kita memang buat pemerhatian, sama ada kegiatan ini melibatkan sindiket atau tidak perkara itu masih dalam siasatan," katanya.

-- BERNAMA



#AKPS #kes rasuah #Flying Passport #CIQ BSI