KUALA LUMPUR: Dua pegawai tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes rasuah membabitkan pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Ketua Pengarah jabatan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM100,000.
Advertisement
Manakala Timbalan Ketua Pengarah (TKP) pula menghadapi enam pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana didakwa menerima suapan bernilai RM21,000.
Kedua-dua individu tersebut dibawa ke hadapan Hakim Suzana Hussin dan Hakim Azura Alwi di dua bilik mahkamah berasingan bagi proses pembacaan pertuduhan.
Timbalan Ketua Pengarah JAS tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.30 pagi diiringi pegawai SPRM, manakala Ketua Pengarah dilaporkan telah tiba di lokasi lebih awal.
Penahanan kedua-dua pegawai kanan terbabit dilakukan oleh SPRM pada 29 Januari lalu di Ibu Pejabat SPRM selepas mereka hadir memberikan keterangan bagi membantu siasatan berkaitan isu e-waste.
Siasatan berkenaan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 bagi meneliti dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dalam pengurusan sisa elektronik yang dipercayai berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.