KUALA LUMPUR: Dua pekerja pembinaan dipercayai cedera selepas perancah besi atau ‘scaffolding’ lebuh raya yang sedang dalam pembinaan runtuh berhampiran Plaza Tol  Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) susur keluar Kota Damansara, pada petang Sabtu.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.14 malam.

Seramai sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurut bomba, mangsa yang merupakan lelaki warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun yang  sedang melakukan kerja di bawah struktur itu.

“Berdasarkan laporan awal, runtuhan konkrit yang sedang dalam pembinaan itu telah runtuh dari ketinggian 12 meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Norazam berkata kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan pada Sabtu, mengesahkan kejadian tersebut.

"Dua pekerja warga Bangladesh cedera dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

"Insiden tidak membabitkan pengguna lebuhraya atau orang awam kerana ia berlaku di dalam kawasan pembinaan yang bertutup.

"Pasukan Emergency Response Team (ERT) DASH telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan perancah besi yang terlibat," kata Prolintas yang merupakan pemaju bagi projek Lebuh Raya DASH.

Sehubungan dengan itu, Prolintas memaklumkan, arahan pemberhentian kerja di tapak pembinaan telah dikeluarkan dengan serta-merta.

BACA: Lorong kanan dan tengah dua laluan di Lebuh Raya DASH ditutup

"Pihak pemaju dan kontraktor utama terlibat akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan.

"Pihak kami akan mengeluarkan kenyataan susulan berkaitan insiden ini dari masa ke semasa," kata kenyataan itu lagi.