KOTA BHARU: Dua lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di masjid didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja di Jalan Merbau, di sini, Julai tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Khairul Arif Md Rodzi dan Muhammad Mustaqim Nazri, kedua-duanya berumur 18 tahun yang didakwa secara berasingan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 13 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah garaj jam 11 malam hingga 5 pagi pada 28 hingga 29 Julai 2021.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK),  Nor Alini Ahmad Jamil.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon tiada jaminan ditawarkan memandangkan tertuduh melakukan kesalahan serius, manakala Nor Alini memohon jaminan diberikan memandangkan kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai tukang cuci membantu keluarga dalam mencari pendapatan.

Mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 20 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.