MALAYSIA
Dua pelajar di pusat asuhan dakwa dirotan guru sehingga lebam, berbirat
Kesan lebam dan birat di tangan seorang pelajar yang didakwa dirotan oleh gurunya.
SUNGAI PETANI: Ibu bapa dua pelajar perempuan dari sebuah pusat asuhan di daerah ini mendakwa anak mereka mengalami kesan berbirat dan lebam kerana dirotan sorang guru wanita dalam kejadian Khamis lalu.
Menurut waris kepada kedua-dua pelajar perempuan yang masing-masing berusia lima tahun itu, mereka hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas anak masing-masing pulang ke rumah dan mengadu sakit pada tangan dan kaki.
Seorang waris murid terbabit yang ditemui di rumahnya di Simpor Tambang berkata, dia sangat terkejut apabila anak perempuannya mengadu sakit pada kedua-dua belah lengan dan kaki kerana di pukul guru semasa latihan bola jaring di pusat berkenaan pada sebelah paginya.
Pembantu sebuah kedai cermin mata di Kepala Batas yang enggan dikenali itu berkata, sebaik mendengar aduan anaknya itu, dia terus bergegas ke pusat asuhan berkenaan untuk bertemu guru terbabit.
“Bagaimanapun sebaik saya sampai di pusat itu saya tegamam apabila melihat seorang waris murid lain sedang memarahi seorang guru wanita itu di kawasan luar pagar pusat berkenaan kerana merotan anaknya.
“Kemudiannya saya bergegas pulang ke rumah dan memeriksa tubuh anak saya dan mendapati terdapat kesan berbirat dan lebam di kedua-dua belah tangan dan kaki anak saya.
“Ketika itu anak saya memaklumkan dia bersama seorang lagi rakannya telah dirotan oleh guru wanita di pusat itu kerana dikatakan gagal menunjukkan kesungguhan ketika latihan bola jaring yang diadakan,” dakwanya lagi.
Waris murid itu kemudian membawa anaknya bagi pemeriksaan lanjut di Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Petani.
Katanya, anaknya kini sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian.
"Polis sedang melengkapkan siasatan termasuk akan menahan guru perempuan berumur 28 tahun untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.