[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Dua pelajar kolej vokasional mengaku salah cederakan rakan

Bernama 09/09/2025 | 10:27 MYT
Mengikut pertuduhan, mereka dengan sengaja menumbuk badan, menyepak kaki dan punggung mangsa lelaki berusia 17 tahun di koridor asrama kolej berkenaan kira-kira 12.30 tengah malam pada 27 Mei. - Gambar hiasan
KEMAMAN: Dua remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan seorang rakan kolej mereka di sebuah kolej vokasional, Mei lepas.

Kedua-dua pelajar Tingkatan Lima itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin dalam prosiding tertutup.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan sengaja menumbuk badan, menyepak kaki dan punggung mangsa lelaki berusia 17 tahun di koridor asrama kolej berkenaan kira-kira 12.30 tengah malam pada 27 Mei.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan masing-masing diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 1 Okt ini untuk laporan akhlak dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi manakala kedua-dua pelajar diwakili peguam Nurul Farhana Shamsudin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

-- BERNAMA


#kolej vokasional #kes mahkamah #cederakan rakan #Hukuman