KUALA LUMPUR: Dua pelajar Malaysia diterima untuk melanjutkan pengajian ke Harvard College di Massachusetts, Amerika Syarikat, kata satu kenyataan media.

Jarell Cheong Tze Wen dari Kuala Lumpur dan Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi dari Pahang mencetus pencapaian peribadi yang membanggakan, memandangkan kolej itu mencatatkan rekod kemasukan yang terendah dalam 385 tahun sejarah kewujudannya.

Harvard College merupakan kolej sarjana untuk persediaan ke Universiti Harvard. Diasaskan pada tahun 1636, Harvard College merupakan fakulti terawal bagi institusi pengajian tertinggi tertua dan berprestij di AS itu.

Berkenaan penerimaan masuk itu, Harvard Club of Malaysia berkata bahawa Cheong dan Muhammad Hamdi adalah sebahagian daripada 1,968 penuntut yang diterima bagi kemasukan 2025. Mereka terpilih antara 57,435 permohonan, menjadikan kadar penerimaan masuk ke kolej itu serendah 3.43 peratus.

“Kedua-dua pelajar pintar ini merupakan produk sistem pendidikan nasional, dengan Jrell Cheong menghabiskan SPM da A-Level di SMK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur dan Kolej Sunway, Petaling Jaya manakala Muhammad Hamdi pula dari SM Sains Shah Alam, Kuala Lumpur sebelum menduduki A-Level di Kolej Tuanku Ja’afar dengan biasiswa Kijang Bank Negara,” kata kenyataan itu.

Dalam perancangan mereka, Cheong mahu mengambil jurusan Matematik, manakala Muhammad Hamdi mahu melanjutkan pengajiannya dalam bidang ekonomi.

BACA: Agong bangga dua pelajar Malaysia dipilih ke Harvard College