Dua pelajar maut akibat dihempap sebatang pokok ketika masing-masing menunggang motosikal di Jalan Pintasan Kuantan di sini, lewat Ahad.

Seorang daripada mangsa ialah penunggang motosikal jenis Yamaha, Tun Muhammad Fakharuddin Mohd Jaiilani, 19, berasal dari Taman Mutiara Mahkota, Kuantan yang juga penuntut Kolej Komuniti Indera Mahkota di sini.

Seorang lagi mangsa adalah penunggang motosikal jenis Honda EX5, Muhammad Lokman Hakim Ismail, 19, dari Sungai Isap Perdana di sini, iaitu pelajar Tingkatan 6 di sebuah sekolah menegah di Kuala Lipis.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian jam 6.05 petang itu kedua-dua penunggang terbabit disahkan mati di tempat kejadian.

"Kemalangan dipercayai berlaku semasa kedua-dua penunggang motosikal terbabit yang melalui jalan tersebut dihempap sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang dari bahu sebelah kiri jalan.

"Akibat itu kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan, " katanya di sini malam ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.