Dua pelajar SMK Gual Ipoh maut kemalangan

Vivi Sumanti
April 29, 2019 13:57 MYT
Kedua-dua mangsa dikatakan tidak memakai topi keledar ketika kejadian. - Foto ihsan pembaca
Dua pelajar Tingkatan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gual Ipoh meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Kusial Bharu, Jalan Tanah Merah-Gual Ipoh, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian pada jam 3.52 petang itu, Muhammad Alif Najmi Imran maut di tempat kejadian manakala rakannya, Mohamad Ziyadi Nik Mustapha, meninggal dunia di Hospital Tanah Merah.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supt Suzaimi Mohamad berkata ketika kejadian, kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar.
Katanya, motosikal yang ditunggangi Muhammad Alif Najmi dari arah Gual Ipoh menghala ke Kusial Bharu bertembung dengan sebuah van yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat pertembungan itu, motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian hadapan van.
"Pemandu van yang berusia 47 tahun tidak mengalami kecederaan serius dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi.
Suzaimi berkata, kedua-dua mangsa dibawa Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara cuai menyebabkan kematian.
#kemalangan maut #kemalangan motosikal #Kusial Bharu #pelajar maut #SMK Gual Ipoh