Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Pengurus Besar dan Pengurus Akaun sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana disyaki menerima rasuah lebih RM800,000.

Sumber berkata, mereka disyaki menerima suapan itu daripada syarikat pembekal berkaitan kontrak sistem jalur lebar sebuah agensi kerajaan yang bernilai jutaan ringgit.

Difahamkan kesalahan tersebut dilakukan antara tahun 2012 hingga 2016.

Kedua-dua lelaki terbabit ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 4.30 petang Rabu sebelum direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali, mengesahkan penahanan suspek terbabit dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan.