MALAYSIA
Dua peniaga dituduh rogol pelajar universiti dalam kereta
MELAKA: Dua rakan yang juga penjual makanan di Klebang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan merogol secara berkumpulan seorang pelajar universiti dalam sebuah kereta, minggu lalu.
Ringkasan AI
- Pertuduhan terhadap dua individu: Dua lelaki penjual makanan di Klebang mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol secara berkumpulan seorang pelajar universiti dalam sebuah kereta.
- Kes jenayah lain: Mereka juga didakwa atas kesalahan pemerasan terhadap mangsa dan menyamar sebagai pegawai polis untuk mengugut dan meminta wang.
- Tindakan mahkamah: Mahkamah membenarkan jaminan serta menetapkan 7 Julai sebagai tarikh serahan dokumen, sementara tertuduh perlu hadir pada setiap sebutan kes dan melaporkan diri di balai polis.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Dua tertuduh itu juga berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, kerana melakukan pemerasan terhadap mangsa dan seorang lelaki berusia 20 tahun dengan mengugut untuk mencederakan jika tidak diberikan wang RM3,000, yang menyebabkan kedua-dua mangsa menyerahkan wang sebanyak RM50.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Taman Nirwana, Melaka, pada waktu dan tarikh yang sama.
Selain itu, mereka turut didakwa secara bersama-sama menyamar sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis di kawasan lapang Pantai Klebang dalam daerah Melaka Tengah, pada tarikh dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar tidak menawarkan jaminan tetapi mencadangkan jaminan RM60,000 setiap seorang sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara, serta syarat tambahan melarang kedua-dua tertuduh mengganggu mangsa.
Peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili Muhamad Nazhim merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih bujang dan menanggung ibu bapa yang menghidap masalah kesihatan, selain hanya berniaga makanan di tepi jalan.
Sementara itu, Muhamad Shafiq Asyraf yang diwakili peguam K Shareveen turut merayu atas alasan anak guamnya bekerja menjual takoyaki dan menyara isteri serta dua anak kecil.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM13,000 bagi semua pertuduhan terhadap Muhamad Shafiq Asyraf serta membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh perlu hadir setiap kali sebutan kes dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain menetapkan 7 Julai depan untuk serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan kedua-dua tertuduh direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret selepas disyaki merogol seorang pelajar universiti dengan menyamar sebagai polis.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berusia 18 tahun sedang berdua-duaan dengan teman lelakinya di dalam sebuah kereta sebelum didatangi suspek berusia 29 tahun yang menaiki motosikal.
Suspek memperkenalkan diri sebagai polis sebelum masuk ke dalam kenderaan tersebut dan menghubungi seorang lagi rakannya yang berusia 23 tahun.
Mereka menuduh pasangan itu melakukan hubungan seks serta mengugut meminta wang RM3,000 jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang, selain turut memaksa pasangan itu melakukan hubungan seks di tempat duduk belakang sambil salah seorang suspek memandu kereta tersebut.
Suspek juga didakwa merakam aksi tersebut menggunakan telefon bimbit dan kemudian mengarahkan teman lelaki mangsa mengeluarkan wang di sebuah kedai serbaneka.
Ketika gadis itu ditinggalkan bersama kedua-dua suspek, mereka didakwa mengambil kesempatan merogol mangsa. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami