NATIONAL
Dua penunggang maut, motosikal terbakar bertembung sesama sendiri
Pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan dua buah motosikal yang terbakar dengan anggaran peratusan kemusnahan 80 peratus. - Gambar ihsan JBPM
NIBONG TEBAL: Dua penunggang motosikal maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung lalu terbakar dalam kemalangan di Jalan Sungai Kechil berdekatan Jawi Golf Resort, di sini.
Difahamkan seorang penunggang motosikal maut di tempat kejadian sementara seorang lagi meninggal dunia di Hospital Sungai Bakap.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 12 tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut pada jam 12.16 tengah malam tadi.
Katanya, sepasukan enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.
Sebaik tiba, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan dua buah motosikal yang terbakar dengan anggaran peratusan kemusnahan 80 peratus.
John Sagun berkata, pemeriksaan mendapati terdapat dua orang mangsa berusia 40an mengalami cedera parah tersepit pada bahagian kaki dan melecur manakala,seorang lagi mangsa cedera dan melecur dengan 50 peratus.
Katanya, mangsa yang melecur 50 peratus diberi rawatan awal dan dihantar ke Hospital Sungai Bakap oleh jentera EMRS untuk rawatan selanjutnya namun disahkan meninggal dunia.
Sementara seorang lagi mangsa yang cedera parah tersepit pada bahagian kaki dan melecur telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, Komander Operasi membuat "size up" dan melakukan kerja-kerja pemadaman dan Kebakaran telah dapat dikawal pada jam12.32 pagi.
Setakat ini, identiti mangsa belum dikenal pasti namun kedua- dua mangsa dianggarkan berumur 40-an.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman berdurasi 17 saat yang menunjukkan insiden kemalangan terbabit menyebabkan motosikal terbakar dengan mangsa bergelimpangan di jalan.