MALAYSIA
Dua penunggang motosikal maut, dua parah lumba sesama sendiri
Dua penunggang motosikal maut, manakala dua lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Kilometer 51.1, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini pada Rabu. -Sinar Harian
KLANG: Dua penunggang motosikal maut, manakala dua lagi parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Kilometer 51.1, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini pada Rabu.
Ringkasan AI
- Dua penunggang motosikal maut dan dua lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di SKVE, dipercayai akibat menunggang laju dan bersaing.
- Dua motosikal bergesel dan terjatuh, lalu dirempuh oleh dua motosikal lain dari arah belakang; mangsa berusia 15 dan 25 tahun disahkan meninggal di lokasi.
- Polis menyiasat kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menasihati ibu bapa agar memantau anak-anak serta elak aktiviti samseng jalanan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, ketika kemalangan berlaku kira-kira jam 11 malam, kesemua mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Laguna Park, Pulau Indah.
"Kesemua lelaki itu disyaki menunggang motosikal secara laju dan bersaing antara satu sama lain. Dua motosikal dipercayai bergesel sesama sendiri lalu terjatuh di atas jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ramli berkata, dua lagi motosikal yang datang dari arah belakang gagal membrek lalu merempuh motosikal yang telah terjatuh.
"Akibat kemalangan itu, dua lelaki termasuk seorang pelajar, masing-masing berusia 25 dan 15 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Sementara itu, dua lelaki termasuk seorang pelajar berusia 24 dan 15 tahun yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nizam Abdul Talib di talian 03-33722222," katanya.
Ramli turut menasihati ibu bapa atau penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan mengawasi aktiviti mereka pada waktu malam.
"Jangan sesekali membenarkan anak-anak menunggang motosikal sekiranya tidak mempunyai lesen sah atau terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain," ujarnya. -Sinar Harian