Dua penuntut UMP ditemukan lemas di Air Terjun Pandan

Bernama
April 23, 2021 02:55 MYT
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Pahang mengeluarkan mayat seorang daripada mangsa yang lemas di Air Terjun Hutan Lipur Sungai Pandan, Kuantan, 22 April, 2021. --fotoBERNAMA
KUANTAN: Dua penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) maut disyaki akibat lemas di Air Terjun Sungai Pandan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa A. Sharvin Ananth, 23, dan R.Goobi, 23, difahamkan ke air terjun itu bersama sembilan lagi rakan untuk beriadah sekitar tengah hari.
"Kedua-dua mangsa dikhuatiri lemas selepas tidak muncul di permukaan air semasa mandi, menyebabkan rakannya menghubungi talian kecemasan pada 1.45 tengah hari," katanya menerusi kenyataan di sini.
Mohamad Noor berkata mayat Sharvin Ananth yang beralamat di Skudai, Johor bagaimanapun ditemukan pihak bomba sekitar 3.13 petang, disusuli mayat Goobi dari Karak, Bentong kira-kira setengah jam kemudian.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat kedua-dua mangsa ditemukan di dasar air terjun yang dianggarkan sedalam tiga meter di lokasi terakhir mereka dilihat.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan 20 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dan Kuantan.
-- BERNAMA
#air terjun #Air Terjun Pandan #lemas #mandi #UMP #pelajar #penuntut #mayat #Universiti Malaysia Pahang #Mohamad Noor Yusof Ali #Kuantan #riadah #JBPM Pahang