Skip to main content

Malaysia

Dua penyelam dikhuatiri hilang di Pulau Redang

Radius operasi pencarian meliputi kawasan sekitar Pulau Bidong, Pulau Geluk, Pulau Tengkorak serta Pulau Pinang di Pulau Redang.
Dua penyelam dikhuatiri hilang ketika menjalankan aktiviti menyelam di Pasir Akar Marine Park, di Pulau Redang, tengah hari tadi. - Foto Sinar Harian

KUALA NERUS: Dua penyelam dikhuatiri hilang ketika menjalankan aktiviti menyelam di Pasir Akar Marine Park, di Pulau Redang, dekat sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa merupakan seorang lelaki Melayu berusia 31 tahun yang berasal dari Kajang, Selangor dan seorang lelaki warganegara China berusia 42 tahun.

Advertisement

Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada pihak berkaitan kira-kira 12.45 tengah hari yang memaklumkan kejadian berkenaan.

"Susulan kejadian itu, sebuah bot daripada Jabatan Perikanan Terengganu dengan tujuh anggota penyelamat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Taman Laut telah digerakkan untuk memulakan operasi pencarian pada 2 petang.

"Operasi turut dibantu tujuh sukarelawan sebuah resort menggunakan dua bot milik mereka … difahamkan seorang penyelam ialah dive master, manakala seorang lagi ialah student diver," katanya ketika dihubungi malam ini.

Azli berkata operasi pencarian turut meliputi kawasan sekitar antaranya Pulau Bidong, Pulau Geluk dan Pulau Tengkorak.

Bagaimanapun, katanya, operasi pencarian terpaksa dihentikan pada 6 petang tadi dan akan disambung pagi esok susulan keadaan ombak dan gelombang yang agak besar.

"Sehingga operasi ditangguhkan petang tadi, dua penyelam tersebut masih belum dijumpai. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video