Dua pertiga graduan baharu terperangkap dalam gaji rendah - Kajian KRI

Harits Asyraf Hasnan
Mac 4, 2024 03:18 MYT
Peratus graduan dalam pekerjaan mahir dilihat menurun dengan ketara dalam tempoh sedekad yang lalu, daripada 63.8 peratus pada 2010 kepada 47.0 peratus pada 2018. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dua pertiga daripada graduan baru kekal terperangkap dalam gaji rendah iaitu dengan gaji permulaan kurang RM2,000 walaupun memiliki pendidikan tinggi, lapor Khazanah Research Institute (KRI).
Menerusi laporan bertajuk Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia's Skilled Talents, KRI mendapati pertumbuhan gaji di negara ini adalah lembab dan tidak banyak berubah sejak sedekad lalu.
Ini apabila kaji selidik baharu KRI yang mengkaji perkembangan kerjaya graduan Malaysia itu mendapati 65.6 peratus graduan pada 2021 mempunyai gaji permulaan kurang RM2,000.
"Peratus graduan dalam pekerjaan mahir dilihat menurun dengan ketara dalam tempoh sedekad yang lalu, daripada 63.8 peratus pada 2010 kepada 47.0 peratus pada 2018.
"Kadar ini mula pulih dan kembali meningkat kepada kepada 60.0 peratus disebabkan perluasan liputan responden Kajian Pengesanan Graduan (Graduate Tracer Study, GTS) yang turut merangkumi graduan lepasan Institut Pendidikan Guru serta Institusi Latihan Kemahiran Awam.
"Graduan baru yang terlebih kelayakan semakin meningkat dan menghadapi masalah gaji rendah, memberi gambaran bahawa ramai yang sanggup menerima pekerjaan tidak mahir dan separa mahir serta bergaji rendah untuk mengelakkan pengangguran," menurut laporan itu.
Pada masa sama, laporan itu turut mendedahkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan (graduate employability rate, GER) yang turut merangkumi graduan yang belum bekerja di Malaysia meningkat dari tahun ke tahun, daripada 73.1 peratus pada 2010 kepada 84.8 peratus pada 2021.
Pada 2021, hanya 59.3 peratus graduan yang bekerja manakala selebihnya sedang menyambung pengajian, mengikuti program peningkatan kemahiran atau sedang menunggu tawaran kerja.
Selain itu, trend keseluruhan GER adalah positif dalam tempoh sedekad yang lalu, dengan penurunan peratus graduan yang menganggur serta peningkatan graduan yang bekerja.
Namun, terdapat pola baharu dalam kalangan graduan baru yang memilih untuk berehat setelah tamat pengajian, selain peningkatan jumlah mereka yang tidak berminat untuk bekerja.
#KRI #graduan #pekerjaan #gaji rendah