GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Dua peserta himpunan GSF yang ditahan polis telah dibebaskan

Seth Akmal 02/10/2025 | 15:45 MYT
Pihak polis menasihati pihak penganjur dan peserta untuk mematuhi semua peraturan dan undang-undang sedia ada semasa berhimpun selaras dengan hak-hak kebebasan berhimpun secara aman yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dua peserta yang ditahan semasa himpunan menyokong misi Global Sumud Flotila (GSF) telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut sumber kedua-dua peserta yang berumur 23 dan 32 tahun itu dibebaskan sekitar jam 9.30 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

Difahamkan kedua-duanya ditahan sekitar jam 1 tengah hari selepas peserta mengadakan protes “duduk bantah” yang turut menyebabkan Jalan Tun Razak terpaksa ditutup hampir lima minit

Himpunan tersebut dihadiri puluhan aktivis yang mula berkumpul di kawasan sekitar kedutaan pada jam 12 tengah hari.

Mereka berhimpun bagi menyatakan bantahan tindakan rejim zionis Israel memintas konvoi GSF pada tengah malam tadi di perairan antarabangsa yang sedang menuju ke Gaza.

Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Fadil Marsus berkata kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas.

“Kes masih dalam siasatan,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan pada Khamis.

Pihak polis menasihati pihak penganjur dan peserta untuk mematuhi semua peraturan dan undang-undang sedia ada semasa berhimpun selaras dengan hak-hak kebebasan berhimpun secara aman yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukkan tersebut hendaklah digunakan secara baik dan berhemah. PDRM menghormati kebebasan rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman dan bersedia memberi kerjasama serta sokongan bantuan keselamatan,” katanya lagi.




#Himpunan GSF #Global Sumud Flotilla #peserta ditahan dibebaskan #Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju