[TERKINI] Najib Razak Dilepas Tanpa Dibebaskan – Kes SRC RM27 Juta, Ikuti Laporan di Sini
NATIONAL

Dua polis BSI ditahan bantu siasatan kes pemerasan

Bernama 20/04/2024 | 13:00 MYT
Dua anggota polis yang berkhidmat di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) ditahan semalam, bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan seorang lelaki tempatan yang bekerja di Singapura. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Dua anggota polis yang berkhidmat di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini ditahan semalam, bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan seorang lelaki tempatan yang bekerja di Singapura.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Supt Lim Jit Huey berkata penahanan suspek berusia 33 dan 34 tahun itu, dilakukan sejurus laporan polis diterima daripada lelaki berusia 50 tahun itu pada 11.21 pagi hari sama.
Beliau berkata lelaki terbabit mendakwa telah diperas ugut sebanyak RM1,000 oleh dua anggota tersebut, sekitar 8.40 malam di BSI pada 4 Jan.
"Ujian saringan air kencing dua anggota polis terbabit telah dibuat dan hasilnya mereka negatif daripada penyalahgunaan dadah.
"Kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah JBS di 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Muhammad Fadzil Tuan Wil di talian 013-4472909.
Lim dalam pada itu menegaskan pihaknya komited memerangi masalah integriti dan salah laku jenayah melibatkan pegawai dan anggotanya, serta tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas kepada pelaku.
-- BERNAMA
#polis BSI #Bangunan Sultan Iskandar #ditahan #kes pemerasan